Rabu, 1 Mac 2017
Kehadapan Aku Yang Di Masa Hadapan
Assalamualaikum. Salam 1 Mac 2017.
Kehadapan aku yang sedang membaca nota ini di masa mendatang. Apa khabar kamu?
Ah, ini permulaan catatan kisah panjang tentang kita.
Sengaja aku coretkan di sini untuk jadi tatapan dan perkongsian, kalau bukan aku dan kau yang membacanya. Aku harap ianya menjadi bacaan orang yang kita sayang.
Aku yang di masa hadapan…
Bagaimana keadaan orang yang kita sayang? Si dia suri hati …
Adakah dia menunggumu dengan senyuman manisnya apabila kau balik dari seharian suntuk mengerah kudrat dan keringat ? Wajah ayu dan polosnya, renungan redupnya melemaskan kau dalam sejahtera.
Adakah dia memasak dan menghidangkan makanan kegemaranmu?
Ulah santun, ketawa dan peri kasihnya pasti membuat kau bahagia…
Aku yang masih disini… telah mula merindui dia.
walau masih aku yang kini belum menemuinya… siapa?
Aku yang di masa hadapan…
Tidurkah putera dan puteri kesayangan kau dan surimu?
Adakah mereka menurut paras kau dan surimu…
Pelukkan mereka untuk aku.
Cium pipi mereka untuk aku.
Terngiang gelak ketawa dan rengekan manja mereka.
Aku yang masih disini ketika ini … telah mula merindui mereka
walau masih aku yang kini belum tahu … berapa putera dan berapa puteri
Aku yang di masa hadapan…
Adakah kau dapat menahan sebak ? Sebak di atas pusara ayah dan ibu?
Bagaimana kau harungi saat itu apabila mereka menghelakan nafas akhir dan melafaz syahadah?
Sukar untuk aku yang kini untuk membayangkan…
Aku yang masih disini ketika ini… telah mula mengalirkan air mata
walau masih aku yang kini belum mahu… belum mahu kehilangan mereka.
Akan aku jaga mereka untuk kita.
Aku yang di masa hadapan…
Semoga kau mampu untuk terus bertahan dan cekal..
Aku yang masih disini ketika ini… gigih berusaha
agar masa hadapan itu wujud ada... Insya Allah
Bismillahirahman’nirahim...
- Catatan 1/2017
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan